5.1.11

Keluar Masuk Balik?!

Kelas pagi bermula pukul 8 pagi. Tiada kelibat lecturer lagi pada masa itu. Semua pelajar sabar menanti. Tiba pukul 9 sahaja, terus semua sudah tidak dapat duduk diam.

"Dah sejam dah ni. Jom balik!"

Aku sangsi, patutkah balik? Masih ada sisa satu jam lagi. Satu jam tu bukannya sekejap. Lama!

"Er...tapi kan masih pukul 9. Awal lagi la. Ada lagi satu jam. Tak nak tunggu lagi ke?"
"Ko nak tunggu apa lagi Ayie? Ni dah lambat 1 jam tau. Kalau kat tempat aku dulu, setengah jam pensyarah lambat, kelas batal tau"

Dalam hati aku berbisik, "Itu tempat kau, ini tempat orang. Tempat yang baru bagi kau dan aku. Apalah."

Tapi semua tu tak terluah la. Tak apalah, dah mereka nak balik. Semuanya bangun dan kemaskan barang untuk keluar kelas.

"Betul ni ko nak tunggu, Ayie? Sorang-sorang??"
"A'ah. Tak apalah. Korang pergilah dulu. Aku nak keluar nanti aku tutup lampu. "

Semua meninggalkan aku sorang-sorang dalam bilik lukisan yang agak lama struktur bangunannya. "Aku nak buat apa ye sekarang?" Bisik hati kecilku. Lantas, aku mengeluarkan sketch pad dari beg aku dan mula melukis lampu di atas seiling. Belum habis melukis tangkainya, kelihatan semua pelajar tadi memasuki kelas semula dengan tergesa-gesa. Kawan aku masuk dengan mulutnya yang mengeluh, "Dia ada la pulak".

Ketua kelas terpandang aku dan spontan berkata, "Memang tepatlah firasat ko!"

Hairan aku. Bila masa pula aku memberi ramalan ni?