27.9.10

siapa tak kena brainwash? angkat tangan.

Pastinya tak ramai mungkin. Orang tertentu je yang kena brainwash ni. Yela...cuba korang bayangkan. Waktu kecil dulu dari bangku sekolah rendah lagi kita ditanya oleh guru-guru dan ibubapa, "adik nak jadi apa bila besar nanti??"

dan mungkin kita jawab...
"adik nak jadi artist!" atau "adik nak jadi dokter haiwan!" atau " adik nak jadi pemuzik terhebat!"

Bila dah masuk pra-sekolah menengah, mungkin kita masih diberi sokongan dengan cara menghantar kita ke kelas art, atau kelas violin, atau membeli astro dengan channel national geography atau membeli alat-alat lukis bermacam bagai dan violin beratus ringgit. Masa tu kita rasa dunia ni kita yang punya. Kita rasa disayangi, diberi sokongan oleh orang-orang terdekat kita. Kita rasa teramat yakin yang kita boleh mencapai apa yang kita hajatkan. Kita rasa impian itu semakin menghampiri hari-hari kita yang mendatang tanpa halangan.

Tapi apa yang  berlaku bila kita naik kelas menengah atas? Sekolah kita ada dua aliran sahaja. Aliran sains atau sastera. Yang peliknya... kita semua disuruh masuk aliran sains. Kenapa??

"Bukankah untuk menjadi seorang artist atau pemuzik hebat kena masuk aliran sastera??"
"Adik jangan nak mengarutlah. Kerja-kerja tu tak ada masa depan. Masuk aliran sains."

Mana pergi sokongan tu? Mana pergi kepercayaan semua kat kita? Tiba-tiba mereka seolah-olah tidak mempercayai kebolehan kita untuk menggapai apa yang kita citakan. Waktu itu, kita mula rasa tak berguna, dan kurang minat dengan bakat dan kebolehan kita. Lama kelamaan bakat tu pun makin pudar.

Bila dah pudar, boleh pula mereka menyakiti hati kita dengan ayat seperti, "adik, meh sini, tolong warnakan belang merah pada bendera Malaysia ni. Adik kan minat seni". Kenapa nak mainkan perasaan kita sebegitu? Setelah ditonyoh dengan ketidakpercayaan, sekarang mahu menyokong semula? Apa kejadah...

Kemudian kita dihantar ke asrama, kita jumpa bermacam-macam jenis kawan. Ada yang mempunyai minat sama seperti kita dan senyap-senyap kita minat semula minat kita yang dulu. SPM, kita skor...sebab dalam hati, masih tersimpan impian yang satu. Kita nak buktikan pada mereka, yang kita boleh berjaya dalam apa-apa bidang pun, supaya mereka membenarkan kita mengejar cita-cita itu.

Tapi apa yang berlaku? Lepas SPM, kita disuruh pula memilih kos yang mereka rasa sesuai dengan diri kita, dengan keputusan yang kita ada. Sekali lagi, kebolehan kita dalam bidang yang kita minat, dipandang rendah, dan minat kita mula pudar lagi. Tenggelam dalam kekecewaan. Kita ikut je cakap mereka. Tapi akhirnya kita dapat tahu, kita tidak dapat apa yang mereka mahukan. Kita dapat peluang memasuki satu bidang yang akan membuka ruang untuk kita mengejar cita-cita kita semula. Mereka akur, mereka menerima seadanya dan membiarkan kita belajar dalam bidang yang kita minat tu.

Setelah tamat pengajian, mestilah kita bekerja dalam bidang itu...kan? Tapi apa yang berlaku?
Mereka suruh kita cari kerja yang menjamin masa hadapan. Kerja makan gaji. Macam mana nak makan gaji, kalau tak ada kemahiran dalam bidang-bidang tertentu? Kita dihimpit dengan kekeliruan antara pemikiran mereka dan qada & qadar. Bukan kita tak berusaha untuk mengikut apa yang mereka suruh. Kita dah usaha. Tapi tak dapat diterima dalam bidang yang yang mereka mahukan kita ceburi.

Inikah yang dinamakan dengan loh mahfuz? Haruskah kita ikut orang yang berpengalaman untuk melayari hidup kita? Ada kalanya harus.... tapi, kalau dah tertulis kita jadi dokter, kita akan jadi dokter... Macam mana mahu jadi engineer? Apa kuasa kita untuk menukar apa yang dah tertulis? Semua orang berbeza pengalaman. Kita tak boleh ikut orang, sebab daya kemampuan kita semua berbeza. Penerimaan kita semua berbeza. Ada setengah orang tak boleh melukis. Kalau dipaksa dan diajar, memang dia boleh melukis. Kalau suruh kerja dalam bidang lukisan, MEMANG dia boleh melukis. Tapi kalau hati tak minat, hati tak ikhlas, halalkah duit yang dia dapat hasil lukisan dia tu?

Makin dewasa, makin tak ada pilihan. Semua kena ikut cakap orang lain. Kalau melawan, dikata kurang ajar. Bila kita dah keliru dan buntu dengan hidup hasil percanggahan pendapat ini, kita dikatakan tidak berguna pula. Makin lama, kasih sayang makin berkurangan...dan yang pasti, bukan kita yang wujudkan rasa itu. Kita hidup memang untuk dimainkan.

Hati ini keliru. Hati ini sakit. Setelah dituduh bermacam-macam tuduhan. Hidup, bukan lagi pilihan aku.